Khamis, 28 Ogos 2014

LATAR BELAKANG PENUBUHAN KOPERASI


Kg. Malaysia Raya, Kg. Malaysia Tambahan dan Pangsapuri Seri Malaysia merupakan kawasan perumahan yang terletak di KM5, Lebuhraya Besraya, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Kampung Malaysia Raya merupakan penempatan orang Melayu yang pertama wujud di Sungai Besi sejak tahun 1969. Kemudian diikuti dengan kewujudan Kg. Malaysia Tambahan pada tahun 1973. Dengan kepesatan pembangunan dipersekitaran, kedua-dua kampung ini digolongkan sebagai kampung tradisional di Kuala Lumpur. Sementara Pangsapuri Seri Malaysia pula merupakan penempatan setinggan yang diduduki pada tahun 2007. Kg. Malaysia Raya mempunyai 74 lot rumah kediaman, Kg. Malaysia Tambahan pula mempunyai 330 lot kediaman, sementara Pangsapuri Seri Malaysia mempunyai 650 pintu rumah kediaman.


Di kawasan sekeliling ketiga-tiga kawasan perumahan ini telah pun wujud bangunan-bangunan moden seperti stesen Sistem Aliran Ringan STAR, Komuter, KLIA transit, Kompleks Sukan Bukit Jalil dan Universiti Pertahanan Nasional. Yang terkini ialah pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Sektor Selatan yang didirikan bersebelahan Kg. Malaysia Tambahan dan kos pembinaannya dianggarkan menelan belanja lebih RM570 juta.

Apabila siap stesen ini nanti, ianya akan memberi banyak peluang perniagaan kepada orang ramai terutama sekali penduduk setempat. Oleh itu, penduduk ketiga-tiga kawasan perumahan ini, bergabung tenaga untuk menubuhkan Koperasi Kampung Malaysia Kuala Lumpur Berhad (Koperasi) bagi mendapatkan peluang pembangunan ekonomi melalui kepesatan pembangunan disekitar Kg. Malaysia Tambahan terutama di kawasan di sekeliling Terminal Pengangkutan Bersepadu Sektor Selatan apabila ia siap nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan